KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam kerugian sebanyak RM13,000 dalam simpanannya selepas dipercayai diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa.

Mangsa, yang berusia dalam lingkungan 30-an, dikatakan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan kemudian sebagai anggota polis, atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan pelaburan, tawaran kerja dan perjudian.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, mangsa didakwa menerima panggilan itu pada 27 Mei, bermula daripada individu yang mengaku sebagai pegawai SKMM.
“Pemanggil tersebut mendakwa nombor telefon mangsa terlibat dalam penyebaran mesej palsu, dan kemudian panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa dirinya sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Perak,” katanya.
Selepas berbual agak lama, mangsa diarahkan untuk memindahkan wang sebanyak RM13,000 ke akaun bank milik seorang lelaki bernama Muhammad Azlan, kononnya untuk ‘melindungi akaun’, katanya.
Supt Mursalin berkata, mangsa juga diarahkan untuk mengemas kini gambar dan maklumat peribadi setiap tiga jam kepada ‘polis’ tersebut sebagai cara untuk melaporkan diri.
“Kemudian, mangsa menyedari dirinya telah ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Ranau pada malam Selasa,” katanya.
Menurut beliau, kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Beliau menasihatkan orang ramai agar bertenang dan berfikir secara rasional apabila menerima panggilan daripada individu atau nombor yang tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Beliau turut memberi amaran agar tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi, perbankan atau pengenalan diri melalui telefon, serta tidak melakukan sebarang transaksi kewangan secara dalam talian atau menerusi panggilan telefon.
“Sentiasa hubungi semula balai polis atau agensi berkaitan melalui talian rasmi mereka untuk mengesahkan sebarang panggilan atau perkara yang meragukan,” kata Supt Mursalin.
Views: 4